SOLAT MENUTUP MUKA
Apa hukum solat menutup muka?
Jawapan:
Makruh menutup muka ataupun mulut ketika solat, sama ada lelaki atau wanita. Umpamanya lelaki memakai kain penutup mulut atau wanita memakai niqab. Namun dikecualikan ketika menguap, kerana sunnah menutup mulut dengan tangan jika menguap sekalipun ketika solat.
Bagi wanita, jika niqabnya sehingga menutup dahi, tidak sah sujudnya kerana syarat sujud wajib dibuka dahinya. Adapun wanita yang solat di masjid terbuka (tiada penghadang), jika dengan membuka wajah menyebabkan pandangan liar lelaki ajnabi padanya, maka tidak makruh memakai purdah ketika solat (asalkan dahinya dibuka).
Rujukan:
• Abu Hurairah R.A berkata:
ﺃﻥ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻧﻬﻰ ﻋﻦ ﺍﻟﺴﺪﻝ ﻓﻲ ﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺃﻥ ﻳﻐﻄﻲ ﺍﻟﺮﺟﻞ ﻓﺎﻩ
"Bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam menegah as-sadl (melunjurkan kain hingga ke tanah) ketika solat dan lelaki yang menutup mulutnya." (Riwayat Abu Daud: 643)
• Imam an-Nawawi di dalam Raudhoh at-Tholibin (1/394) berkata:
ﻭﻳﻜﺮﻩ ﺃﻥ ﻳﺼﻠﻲ ﺍﻟﺮﺟﻞ ﻣﻠﺜّﻤﺎ ، ﻭ ﺍﻟﻤﺮﺃﺓ ﻣﺘﻨﻘﺒﺔ ، ﻭﺃﻥ ﻳﻐﻄﻲ ﻓﺎﻩ ﺇﻻ ﺃﻥ ﻳﺘﺜﺎﺀﺏ ،ﻓﺈﻥ ﺍﻟﺴﻨﺔ ﺣﻴﻨﺌﺬ ، ﺃﻥ ﻳﻀﻊ ﻳﺪﻩ ﻋﻠﻰ ﻓﻤﻪ
"Makruh lelaki solat menutup muka dan (makruh) wanita (solat) berniqab, dan (makruh) menutup mulut ini dikecualikan jika menguap, kerana sunnah (menutup mulut) ketika itu dengan meletakkan tangan di atas mulutnya." [Raudhoh at-Tholibin]
• Syeikh Taqiyuddin al-Husaini di dalam Kifayatul Akhyar berkata:
ﻭﻳُﻜﺮﻩ ﺃﻥ ﻳﺼﻠﻲ ﻓﻲ ﺛﻮﺏ ﻓﻴﻪ ﺻﻮﺭﺓ ﻭﺗﻤﺜﻴﻞ ، ﻭﺍﻟﻤﺮﺃﺓ ﻣﺘﻨﻘّﺒﺔ ﺇﻻ ﺃﻥ ﺗﻜﻮﻥ ﻓﻲ ﻣﺴﺠﺪ ﻭﻫﻨﺎﻙ ﺃﺟﺎﻧﺐ ﻻ ﻳﺤﺘﺮﺯﻭﻥ ﻋﻦ ﺍﻟﻨﻈﺮ ، ﻓﺈﻥ ﺧﻴﻒ ﻣﻦ ﺍﻟﻨﻈﺮ ﺇﻟﻴﻬﺎ ﻣﺎ ﻳﺠﺮ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻔﺴﺎﺩ ﺣﺮﻡ ﻋﻠﻴﻬﺎ ﺭﻓﻊ ﺍﻟﻨﻘﺎﺏ
"Makruh solat dengan pakaian bergambar dan lukisan, (juga makruh) wanita berniqab ketika solat, melainkan di masjid (terbuka) terdapat ajnabi yang tidak menjaga pandangannya (dari melihat wanita). Jika dikhuatiri ada pandangan (liar) padanya sehingga menimbulkan keburukan (fitnah), haram baginya membuka niqab (ketika itu)." [Kifayatul Akhyar]
wallahu a'lam